Sabtu, 26 Julai 2014

Membiak Tumbuhan Melalui Keratan Batang (Propagasi)


Ada jenis pokok yang boleh dibiak melalui keratan batang.  Pokok mulberry, bunga raya, bunga ros, bunga melor, moringa, roselle dan bendi boleh dibiak dengan cara ini.  Anda perlukan gunting kebun (atau gunting dapur) atau pisau yang tajam, agen penggalak pertumbuhan akar, tanah, pasu atau bekas tanaman dan pokok induk.  Proses membiak tanaman melalui keratan batang dikenali sebagai propagasi.  

Alatan yang diperlukan, gunting kebun  dan agen penggalak pertumbuhan akar.

Saya gunakan agen penggalak pertumbuhan akar dalam bentuk gel.  Anda juga boleh gunakan agen penggalak dalam bentuk serbuk. Jika anda tidak memiliki agen penggalak pun tidak mengapa, anda masih boleh biakkan tanaman dengan cara ini.  Cuma pertumbuhan akar lambat sedikit, tetapi saya yakin ia tetap akan berhasil juga.

Pelbagai jenis agen penggalak pertumbuhan akar.


Kebanyakan artikel mengesyorkan anda menggunakan tanah dalam bentuk pasir atau vermaculite.  Sebenarnya anda boleh gunakan tanah organik biasa, cuma tanah tersebut jangan terlalu basah.  Ini untuk mengelakkan bahagian keratan diserang penyakit.

Tanah organik.

Lakukan kaedah ini di sebelah petang untuk mengelakkan panas tengahari di hari pertama proses propagasi.  Isikan tanah ke dalam bekas.  Siram dengan sedikit air untuk melembapkan tanah tetapi jangan terlalu basah.

Isikan tanah ke dalam bekas dan siram dengan air.

Kerat batang yang ingin dibiakkan.  Bahagian pangkal kira-kita 4 cm daripada tunas.  Di bahagian hujung kira-kira 2 cm daripada tunas.  Potong batang bahagian hujung menyerong tetapi tidak menuju ke arah mata tunas.  Lihat gambar berikut sebagai panduan.


Contoh keratan batang.

Celupkan bahagian pangkal ke dalam gel atau serbuk penggalak pertumbuhan akar kira-kira sedalam 1.5 cm.  Sekiranya anda tidak memiliki bahan ini, langkah ini boleh diabaikan.

Celup pangkar keratan kira-kira 1.5 cm ke dalam agen penggalak pertumbuhan akar.
Jangan cucuk terus ke dalam tanah.  Ini akan mencederakan pangkal keratan batang.  Buat lubang dalam tanah menggunakan jari kira-kira sedalam 4 cm.  Kemudian masukkan keratan batang.

Masukkan keratan ke dalam lubang di dalam tanah.

Tutup lubang dengan tanah.  Jangan padatkan tanah.  


Kambus lubang dan pastikan keratan batang dalam kedudukan mencacang.

Labelkan.  Simpan bekas propagasi di tempat yang teduh.  Lazimnya daun akan tumbuh dari mata tunas dalam masa 2 minggu. Apabila tunas telah keluar alih ke tempat yang mendapat cahaya sepenuhnya.
Labelkan keratan dan letakkan di tempat yang tidak terlalu terik.

Khamis, 24 Julai 2014

Doa Di Malam Al-Qadar (Lailatul Qadar)


Doa Pada Malam Lailatul Qadar

Berikut ini adalah salah satu doa yang boleh diamalkan di malam-malam Al-Qadar.

Ya Allah! Malam ini daku datang kepadaMu sebagai hambaMu yang hina, yang tidak mempunyai kemampuan untuk memberi manfaat dan mudarat dan tak mampu menyingkirkan keburukan dari diriku.  Dengan itu daku bersaksi atas diriku dan mengakui di hadapan Mu tentang kelemahanku dan ketidakupayaanku, sampaikan selawat kepada Nabi Muhammad dan keluarga Muhammad. Kurniakan padaku malam ini pengampunan dariMu sebagai mana telah Dikau janjikan padaku, pada kaum mukminin dan mukminat. Sempurnakan padaku apa yang telah Dikau kurniakan padaku, kerana aku adalah hambaMu yang miskin dan papa, lemah, fakir dan hina. Ya Allah! Janganlah biarkan daku lalai untuk mengingatMu, dalam pertolongan yang telah Dikau berikan, dan kebaikan yang telah Dikau anugerahkan. Janganlah jadikan daku orang yang berputus asa dari balasanMu walaupun Dikau menundakannya, dalam suka atau duka, bahagia atau derita, dalam aman atau bencana, sengsara atau kenikmatan. Sesungguhnya Dikau Yang Maha Mendengar permohonan doa!.


Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: “Rasulullah  itu bersungguh-sungguh dalam beribadah dalam bulan Ramadhan yang tidak sedemikian bersungguh-sungguhnya kalau dibandingkan dengan bulan lainnya, juga di dalam sepuluh hari terakhir dari bulan Ramadhan itu Baginda bersungguh-sungguh juga yang tidak sedemikian bersungguh-sungguhnya kalau dibandingkan dengan hari-hari Ramadhan yang lainnya. (Riwayat Muslim)

Sabtu, 19 Julai 2014

Pokok Mulberi

Dari Wikipedia Mulberi (juga disebut Bebesaran) (Latin: Morus) adalah termasuk genus tumbuhan dari keluarga Moraceae. Ianya terdiri dari 10–16 spesies pohon yang asli berasal dari kawasan beriklim panas dan subtropika di benua Asia, Afrika dan Amerika Latin. Namun kebanyakan dari spesies asli Mulberi berasal dari benua Asia.

Pokok Mulberi tumbuh dengan begitu cepat walaupun ianya ditanam hanya pada mulanya sebagai anak benih. Namun selepas ia mengalami pertumbuhan pantas (Rapidly growing), pertumbuhan pokok Mulberi biasanya akan mula menjadi lambat. Tinggi pokok Mulberi jarang melebihi 10-15 meter. Daun pokok Mulberi berurat jejala, bercuping dan menggergaji di bahagian tepi. Buah Mulberi merupakan buah yang bernodul majmuk yang mampu mencapai kepanjangan 2-3 cm dan 1 cm meter lebar, berwarna merah bila masih mudah dan ungu tua bila ranum, dan ia enak dimakan segar.



Mulberi juga terkenal akan penggunaan dedaunannya yang digunakan sebagai makanan ulat sutera. Selain itu, andalas (Morus macroura), salah satu spesies Mulberi, batangnya sering digunakan untuk dibuat parket lantai rumah atau marbel kerana kuat dan keras.




Khasiat Mulberi

(i)Pucuknya sedap dibuat ulam. Ulat sutera boleh makan takkan kita tak boleh makan.

(ii)Buah mulberi digunakan dalam penghasilan jem dan boleh dimakan segar atau dikeringkan. Rasanya manis dan isinya yang lembut berair apabila masak serta sangat sesuai dipelbagaikan ke dalam masakan seperti pai, tat, kek dan dijadikan jus. ia juga boleh dimakan begitu sahaja kerana rasanya yang manis dan lazat itu. Mulberi hitam mempunyai rasa dan bau yang paling kuat sekali menyebabkan ia digunakan secara komersil untk menghasilkan perisa dan warna berasaskan mulberi.

(iii)Dari segi perubatan, ianya bersifat diuretik, antidemam dan anti hipertensi.

(iv) Ia juga digunakan dalam dos tertentu sebagai pelawas kencing, merawat demam, malaria, batuk, sakit kepala dan menurunkan tekanan darah tinggi.

(v)Daunnya yang tua boleh dijadikan teh dan berkhasiat untuk menurunkan tekanan darah tinggi. Selain itu ia juga mampu mengurangkan sakit-sakit otot terutamanya pada lutut.


Variasi Mulberi jenis putih yang kurang menghasilkan buah telah ditanam di US untuk kegunaan industri pembuatan sutera dan kini popular sebagai tanaman landskap. Ia dikenali sebagai Morus alba 'Pendula'.


Jumaat, 18 Julai 2014

POKOK MERUNGGAI /MORINGA OLEIFERA


Nama Melayu: Kacang kelur,Merunggai, Rembungai or Lembungai
Famli: Moringaceae
Negara asal: India, Pakistan dan Afganistan
Ketinggian pokok: 10 meter
Jenis tanah yang sesuai: Tanah kering dan berpasir

Fakta penting berkenaan pokok ini:
(1)        Mengikut kajian negara barat pokok ini adalah ‘food supplement’ termurah.
(2)        Daun pokok merunggai mempunyai:- 
(i)         khasiat vitamin A yang lebih tinggi dari lobak merah (carrot), 
(ii)        lebih banyak zat besi dari bayam, 
(iii)       lebih banyak vitamin C dari limau,
(iv)       lebih banyak kalsium dari susu, 
(v)        lebih banyak potassium dari pisang 
(vi)       dan kualiti proteinnya setanding dengan telur dan susu.

Pengkaji barat telah mentakrifkan pokok ini sebagai pokok yang paling berguna kepada manusia dan dipanggil ‘miracle tree’
Pokok ini dikatakan mempunyai protein yang senang di hadam
Mengikut kajian pemakanan, orang orang yang mengamalkan memakan daun dan buah pokok ini kurang berisiko kena penyakit kanser. 

Kegunaan sebagai makanan: 
Semua bahagian pokok ini boleh dimakan dan berguna tetapi tidak digalakkan makan akarnya oleh kerana ada alkaloid.spirichin
Daun basah boleh dimasak pelbagai cara
Daun kering boleh disimpan lama tanpa hilang khasiat
Buah muda boleh dimasak macam sayur
Biji boleh dimasak atau dipanggang
Minyaknya yang susah rosak digunakan untuk ‘salad’
Bunganya boleh dimakan kalau dimasak 

Minyak dari biji:
Biji mempunyai kandungan 30-40% minyak
Minyaknya di kenali sebagai BEN OIL
Digunakan dalam minyak wangi dan perubatan
Minyaknya tidak melekat dan digunakan untuk peralatan/jentera halus 


Biji yang telah dikisar menjadi debu: 
Digunakan untuk merawat air menggantikan aluminium sulphate. (water purification by flocculation, sedimentation, anti-biosis, and reduction of Schistosome cercariae.)
Di pedalaman Indonesia , air dari kawasan tanah gambut telah dirawat mengunakan biji meruggai

Makanan ternakan: 
Daun
Sisa biji selepas diambil minyaknya

Batang pokok 
Tanning atau bahan kelat dari batang pokok digunakan untuk perusahaan kulit
Dibuat gam 

Perubatan -antaranya seperti berikut (semua bahagian pokok ini mempunyai khasiat perubatan):
Menstabilkan tekanan darah/hypotensive
Mengawal kadar glukos dalam darah
Cirit birit
Bengkak dalam usus
Parasit dalam perut
Sengal tulang
Sakit sendi
Arthritis
Gout
Meningkatkan ketahanan badan
Kanser prostate,kulit dll./anticancer
Sakit kerongkong/bronchitis
Jangkitan saluran kencing
Kurang darah/anemic
anti-kuman, termasukkuman 'Helibacter pylori' yang menyebabkan sakit 'ulser' dan gastrik
Anti-bengkak/anti-inflammation
Hypo glycemic 

Kandungan bahan kimia dan bahan aktif:- 
4-(4-0- acetyl-a-L-rhamnopyranosyloxy) benzyl isothiocyanate
4-(4-L- acetyl-a-L-rhamnopyranosyloxy) benzyl isothiocyanate
Niazimicin
Pterygospermin
Benzyl isothiocyanate
4-(a-L- acetyl-a-L-rhamnopyranosyloxy) benzyl glucosinolate
‘Ptyto-chemicals’ seperti carotenoids (pro-vitamin A)
The seed contain inodorous oil, glycerides of oileic, palmitic, and stearic acids.

Kepada anda yang membaca artikel ini harap dapat menyebar khasiat pokok ini kepada kawan kawan untuk menanam pokok ini dirumah dan:- 
Tidak perlu lagi risau tentang bahan kimia pada sayuran
Tidak perlu beli food supplement yang tidak murah harganya
Menghindar banyak penyakit 


Pokok ini sangat senang ditanam, ambil saja satu ranting atau dahan cucuk kedalam tanah dan siram membaja sekali sekala, itu saja anda perlu buat. 

Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim (YAATIM) Kelantan

YAYASAN KEBAJIKAN ANAK-ANAK YATIM (YAATIM) KELANTAN
(RUMAH PUTERI HARAPAN)
No. 1, Taman Sabariah, Jalan Pengkalan Chepa, 15400 Kota
Bharu, Kelantan
Tel : 09 - 7735494
Fax: 09 - 7745498

Ditubuhkan pada 1993 dan didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan Pemegang Amanah 1952.

Membela dan memberi perlindungan serta membantu anak-anak yang tiada pergantungan hidup khususnya golongan anak yatim dan miskin.

No. akaun : BIMB 03018010050062
Nama akaun : Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan

FACEBOOK: http://www.facebook.com/YAATIM

Khamis, 17 Julai 2014

Kanser Di Dalam Mulut – Dr. Husna Razak


Kanser terjadi apabila struktur genetik (DNA) yang mengawal pertumbuhan sel-sel badan anda mengalami perubahan dan mutasi. Akibatnya, pertumbuhan sel-sel itu tidak lagi dapat dikawal oleh badan menyebabkan kemunculan sel-sel kanser. Sel-sel kanser ini kemudiannya akan membesar dengan cepat untuk membentuk tumor.
Kanser mulut merupakan kanser yang ke-sebelas paling kerap dikesan di Malaysia, di mana dua kes baru kanser mulut dikesan setiap hari.  Di Malaysia, kanser mulut paling banyak dikesan di kalangan kaum India dan diikuti kaum-kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.
Bagaimana kanser mulut boleh terjadi?
Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser mulut:
1. Merokok
Seperti yang diketahui umum, beberapa bahan dalam rokok adalah “carcinogen” iaitu ejen yang menyebabkan kanser. Berdasarkan kajian yang dijalankan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), hampir 60% daripada pesakit yang menghidap kanser mulut adalah perokok. Semakin banyak dan semakin lama anda merokok, maka semakin tinggilah risiko anda untuk mendapat kanser mulut.
2. Tembakau dan sirih
Amalan mengunyah sirih dan tembakau juga berkaitan dengan peningkatan risiko kanser mulut di India, Sri Lanka dan Asia Tenggara. Pengambilan sirih dan kapur, gambir, buah pinang dan sebagainya juga mengandungi “carcinogen” yang boleh menyebabkan kanser.
3. Alkohol
Tabiat mengambil minuman beralkohol dengan kerap meningkatkan risiko anda untuk mendapat kanser mulut sehingga 2.5 kali ganda atau sebanyak 155%. Risiko mendapat kanser mulut akan meningkat sehingga 5 kali ganda sekiranya anda seorang peminum alkohol tegar.
Pengambilan alkohol dan tembakau (rokok atau kunyah)  yang diambil bersama-sama dengan kerap boleh meningkatkan risiko mendapat kanser mulut berkali-kali ganda lagi.
4. Human papilloma virus (HPV)
HPV adalah sejenis virus penyakit kelamin yang boleh tersebar dari seorang individu kepada individu yang lain melalui sentuhan. Virus ini  terutamanya HPV 16 dan 18 boleh menjangkiti bahagian mulut kerana kulit di bahagian kelamin dan mulut tidak banyak bezanya dari segi struktur. Virus ini dikaitkan dengan kes-kes individu-individu yang menghidap kanser mulut tetapi tidak merokok dan mengamalkan pengambilan minuman beralkohol.
5. Radiasi
Radiasi dari sinar matahari, sinar X dan gamma juga boleh menyebabkan sel-sel mengalami mutasi sekiranya anda terdedah kepada sinaran-sinaran tersebut untuk jangka masa yang lama. Amalkan memakai ‘sunscreen’ pada kulit atau pelembap bibir yang mengandungi pelindung sinar UV [Sun Protection Factor (SPF)] jika anda selalu terdedah kepada sinar matahari untuk jangka masa yang lama.
6. Diet
Walaupun kaitan makanan dengan kanser mulut tidaklah sekukuh merokok dan alkohol, terdapat beberapa kajian yang mendapati pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, terutamanya yang mengandugi karotin (contohnya lobak merah, tomato dan buah oren) boleh mengurangkan risiko untuk mendapat kanser mulut.
Malangnya, di Malaysia, ramai pesakit yang telah berada pada tahap teruk apabila dikesan menghidap kanser mulut. Hampir 70% kes yang dikesan di hospital-hospital di Malaysia telah berada pada  Tahap III dan IV yang menyebabkan kurang dari separuh daripada jumlah pesakit yang dikesan menghidap kanser mulut akan dapat hidup lebih dari 5 tahun selepas kanser dikesan.


Sumber: http://stjamesdentalgroupcudahy.wordpress.com
Hal ini boleh dielakkan dengan pemeriksaan sendiri di rumah dan melakukan pemeriksaan berkala di klinik. Pemeriksaan mulut kita sendiri tidaklah sukar. Anda cuma perlukan cermin dan pencahayaan yang mencukupi, dan hanya perlu ikut langkah-langkah mudah seperti berikut:
  1. Berdiri di hadapan cermin. Keluarkan gigi palsu (jika ada). Bersihkan tangan anda dengan sabun dan air yang bersih.
  2. Angkat bibir atas anda dengan menggunakan jari. Perhatikan sebarang keganjilan di bahagian dalam bibir dan gusi. Ulang langkah sama untuk bibir bawah.(Gambar A dan D)
  3.  Dengan ibu jari dan jari telunjuk, picit bibir anda perlahan-lahan. Pastikan tiada benjolan atau ulser.(Gambar B).
  4. Tarik pipi kanan anda, perhatikan sebarang keganjilan di bahagian dalam pipi dan gusi belakang. Ulang langkah ini dengan pipi sebelah kiri. (Gambar C).
  5. Dongak kepala anda dan lihat lelangit anda. Gunakan ibu jari dan tekan lelangit perlahan-lahan untuk memeriksa sebarang keganjilan yang mungkin ada. (Gambar E).
  6. Tekan lidah anda menggunakan batang kayu aiskrim atau berus gigi. Perhatikan bahagian belakang lidah dan tekak anda. (Gambar F).
  7. Seterusnya, angkat lidah dan periksa bahagian bawah lidah dan gusi berdekatan dengan lidah. (Gambar G).
  8. Akhirnya, gerakkan lidah anda ke kiri dan periksa bahagian kanan lidah. Ulang langkah sama untuk sebelah kanan.(Gambar H).
Apakah yang patut anda cari ketika pemeriksaan mulut sendiri?
  • Tompok putih yang tidak hilang setelah disapu dengan kapas.
  • Tompok merah
  • Tompok merah dan putih yang bercampur
  • Ulser atau luka yang berpanjangan
  • Sebarang benjolan di dalam mulut dan leher
  • Kesukaran mengunyah dan menelan makanan.
Namun begitu, kehadiran mana-mana tanda yang disebut di atas tidak bermakna anda menghidap kanser mulut. Ia boleh juga disebabkan oleh keadaan lain yang mungkin tidak berkaitan dengan kanser. Doktor anda akan memeriksa dan menjalankan beberapa ujian lanjutan sebelum menentukan penyakit yang anda hidapi ketika temujanji.
Kesimpulannya, adalah penting untuk kanser mulut dikesan awal supaya rawatan boleh dijalankan segera bagi menyelamatkan nyawa pesakit. Adalah lebih baik lagi jika tabiat yang meningkatkan risiko kanser mulut  ini dihentikan sebagai langkah pencegahan.
Dr. Husna Razak (BDS) (KLE VK) seorang pegawai pergigian yang sedang bertugas di Kota Bharu, Kelantan. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan:

  • http://mouthcancermalaysia.um.edu.my/s tatistic.html
  • http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/20192598
  • http://www.cancerresearchuk.org/cancer-info/cancerstats/types/oral/riskfactors/oral-cancer-risk-factors
  • http://www.aaoms.org/docs/media/oralcancerselfexam.pdf

Perlukah Berpantang Selepas Pembedahan? – Dr. Ahmad Mahyuddin

Seorang remaja berusia 17 tahun masuk ke bilik konsultasi ku dengan bertongkat. Dia hanya tersenyum melihatku. Wajah yang amat ku kenali. “Apa khabar awak hari ni Adam?” Saya memula bicara.
Beliau duduk di kerusi di depanku. Ibunya pula hanya berdiri. Adam mengalami kepatahan pada tulang peha (femur bone) kanan beliau akibat kemalangan jalanraya 3 minggu yang lalu. Kami telah melakukan pembedahan ‘plating’ dimana kepatahan tulang femur tersebut telah dibetulkan dan distabilkan dengan sebatang besi (implant). Tanpa pembedahan ini, kepatahan tersebut akan sembuh dengan keadaan berselisih sebanyak 4 cm. Akibatnya, beliau akan tempang.
“Saya baik doktor, Alhamdulillah”. Luka ni pun dah sembuh. Tapi kadang-kadang masih ada rasa sengal-sengal kat peha kanan ni” Ujar beliau dengan penuh mesra. Saya memeriksa luka tempat pembedahan beliau. Terdapat parut sepanjang 15cm yag telah sembuh. Jahitan juga telah dibuka.
“Cantik luka awak ni Adam. Dah sembuh sepenuhnya” Saya senyum kepada beliau. “Makcik suruh dia berpantang doktor, lepas pembedahan tu, memang makcik tak bagi dia makan telur, ayam, ikan semua tu. Takut bernanah luka tu nanti”. Panjang lebar ibu beliau bercerita. Aku tersenyum kelat.
Masyarakat kita memang suka berpantang. Kalau tidak berpantang, takut luka bernanah atau lambat baik katanya. Namun, adakah ini benar? Adakah kajian saintifik yang membuktikan keberkesanan berpantang ini?
Terdapat beberapa faktor yang menentukan cepat atau lambatnya luka kita sembuh. Faktor-faktor ini termasuk:
  1. Saiz luka
  2. Sel darah merah (Hemoglobin) yang cukup
  3. Tiada jangkitan kuman yang berlaku
  4. Nutrisi atau zat makanan yang seimbang, terutamanya protein
  5.  Masalah kesihatan pesakit – seperti kencing manis, masalah hati, buah pinggang
Makanan seperti ikan, ayam dan telur sebenarnya amat kaya dengan zat protin. Berpantang daripada mengambil makanan ini akan mendedahkan pesakit kepada risiko kekurangan zat protin dan melambatkan proses penyembuhan luka. Pandangan bahawa makanan berprotin ini akan menyebabkan kegatalan serta nanah tidak dapat dibuktikan secara kajian saintifik.
Pesakit perlu mengambil makanan seperti daging merah, kekacang dan bayam yang dapat menambahkan pembentukan sel darah merah. Sel darah merah ini amat penting dalam proses penyembuhan luka dimana ia membawa nutrisi serta sel-sel yang terlibat dalam pembentukan tisu dan sistem imuniti badan.
Kawalan tahap gula dalam darah yang optimum juga akan mempercepatkan proses penyembuhan luka. Oleh itu, apa yang penting ialah berpantang daripada mengambil makanan manis yang berlebihan. Manakala, tahap gula dalam darah perlu diperiksa secara berkala bagi memastikan ia terkawal.
Pesakit yang mempunyai masalah hati dan buah pinggang biasanya mempunyai masalah sembab, dimana anggota kaki atau tangan pesakit membengkak kerana edema atau kandungan air yang berlebihan. Ia menyebabkan luka pada kulit berada dalam keadaan tegang dan ini boleh mengganggu proses penyembuhan luka. Pesakit perlu mematuhi nasihat yang diberi oleh doktor mengenai kuantiti maksimum air yang boleh diminum setiap hari. Doktor mungkin akan memberikan ubat bagi membolehkan lebihan air ini dikeluarkan melalui air kencing.
Selain daripada perkara di atas, pantang paling penting yang perlu dijauhi oleh setiap pesakit ialah ROKOK. Mengikut kajian, merokok bukan sahaja akan melambatkan proses penyembuhan luka, malah ia membantutkan proses percantuman tulang yang patah, melemahkan system pertahanan badan, serta membuatkan luka lebih terdedah kepada jangkitan kuman.
Sekiranya anda masih juga mahu berpantang, maka, nasihat saya, berpantanglah daripada merokok.
Artikel ini ditulis oleh salah seorang penulis tetap Malaysian Medical Gazette, Dr. Mahyuddin, seorang pakar bedah ortopedik yang bertugas di sebuah hospital di Pahang. Kenali beliau dengan lebih lanjut di laman The Team.

Rujukan