Sabtu, 26 Julai 2014

Membiak Tumbuhan Melalui Keratan Batang (Propagasi)


Ada jenis pokok yang boleh dibiak melalui keratan batang.  Pokok mulberry, bunga raya, bunga ros, bunga melor, moringa, roselle dan bendi boleh dibiak dengan cara ini.  Anda perlukan gunting kebun (atau gunting dapur) atau pisau yang tajam, agen penggalak pertumbuhan akar, tanah, pasu atau bekas tanaman dan pokok induk.  Proses membiak tanaman melalui keratan batang dikenali sebagai propagasi.  

Alatan yang diperlukan, gunting kebun  dan agen penggalak pertumbuhan akar.

Saya gunakan agen penggalak pertumbuhan akar dalam bentuk gel.  Anda juga boleh gunakan agen penggalak dalam bentuk serbuk. Jika anda tidak memiliki agen penggalak pun tidak mengapa, anda masih boleh biakkan tanaman dengan cara ini.  Cuma pertumbuhan akar lambat sedikit, tetapi saya yakin ia tetap akan berhasil juga.

Pelbagai jenis agen penggalak pertumbuhan akar.


Kebanyakan artikel mengesyorkan anda menggunakan tanah dalam bentuk pasir atau vermaculite.  Sebenarnya anda boleh gunakan tanah organik biasa, cuma tanah tersebut jangan terlalu basah.  Ini untuk mengelakkan bahagian keratan diserang penyakit.

Tanah organik.

Lakukan kaedah ini di sebelah petang untuk mengelakkan panas tengahari di hari pertama proses propagasi.  Isikan tanah ke dalam bekas.  Siram dengan sedikit air untuk melembapkan tanah tetapi jangan terlalu basah.

Isikan tanah ke dalam bekas dan siram dengan air.

Kerat batang yang ingin dibiakkan.  Bahagian pangkal kira-kita 4 cm daripada tunas.  Di bahagian hujung kira-kira 2 cm daripada tunas.  Potong batang bahagian hujung menyerong tetapi tidak menuju ke arah mata tunas.  Lihat gambar berikut sebagai panduan.


Contoh keratan batang.

Celupkan bahagian pangkal ke dalam gel atau serbuk penggalak pertumbuhan akar kira-kira sedalam 1.5 cm.  Sekiranya anda tidak memiliki bahan ini, langkah ini boleh diabaikan.

Celup pangkar keratan kira-kira 1.5 cm ke dalam agen penggalak pertumbuhan akar.
Jangan cucuk terus ke dalam tanah.  Ini akan mencederakan pangkal keratan batang.  Buat lubang dalam tanah menggunakan jari kira-kira sedalam 4 cm.  Kemudian masukkan keratan batang.

Masukkan keratan ke dalam lubang di dalam tanah.

Tutup lubang dengan tanah.  Jangan padatkan tanah.  


Kambus lubang dan pastikan keratan batang dalam kedudukan mencacang.

Labelkan.  Simpan bekas propagasi di tempat yang teduh.  Lazimnya daun akan tumbuh dari mata tunas dalam masa 2 minggu. Apabila tunas telah keluar alih ke tempat yang mendapat cahaya sepenuhnya.
Labelkan keratan dan letakkan di tempat yang tidak terlalu terik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan