Kanser terjadi apabila
struktur genetik (DNA) yang mengawal pertumbuhan sel-sel badan anda mengalami
perubahan dan mutasi. Akibatnya, pertumbuhan sel-sel itu tidak lagi dapat
dikawal oleh badan menyebabkan kemunculan sel-sel kanser. Sel-sel kanser ini kemudiannya
akan membesar dengan cepat untuk membentuk tumor.
Kanser mulut merupakan kanser yang ke-sebelas paling kerap
dikesan di Malaysia, di mana dua kes baru kanser mulut dikesan setiap
hari. Di Malaysia, kanser mulut paling banyak dikesan di kalangan kaum
India dan diikuti kaum-kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.
Bagaimana kanser mulut boleh terjadi?
Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser
mulut:
1. Merokok
Seperti yang diketahui umum, beberapa bahan dalam rokok adalah “carcinogen”
iaitu ejen yang menyebabkan kanser. Berdasarkan kajian yang dijalankan di
Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), hampir 60% daripada pesakit yang
menghidap kanser mulut adalah perokok. Semakin banyak dan semakin lama anda
merokok, maka semakin tinggilah risiko anda untuk mendapat kanser mulut.
2. Tembakau dan sirih
Amalan mengunyah sirih dan tembakau juga berkaitan dengan
peningkatan risiko kanser mulut di India, Sri Lanka dan Asia Tenggara.
Pengambilan sirih dan kapur, gambir, buah pinang dan sebagainya juga
mengandungi “carcinogen” yang boleh menyebabkan kanser.
3. Alkohol
Tabiat mengambil minuman beralkohol dengan kerap meningkatkan
risiko anda untuk mendapat kanser mulut sehingga 2.5 kali ganda atau sebanyak
155%. Risiko mendapat kanser mulut akan meningkat sehingga 5 kali ganda
sekiranya anda seorang peminum alkohol tegar.
Pengambilan alkohol dan tembakau (rokok atau kunyah) yang
diambil bersama-sama dengan kerap boleh meningkatkan risiko mendapat kanser
mulut berkali-kali ganda lagi.
4. Human papilloma virus (HPV)
HPV adalah sejenis virus penyakit kelamin yang boleh tersebar
dari seorang individu kepada individu yang lain melalui sentuhan. Virus
ini terutamanya HPV 16 dan 18 boleh menjangkiti bahagian mulut kerana
kulit di bahagian kelamin dan mulut tidak banyak bezanya dari segi struktur.
Virus ini dikaitkan dengan kes-kes individu-individu yang menghidap kanser
mulut tetapi tidak merokok dan mengamalkan pengambilan minuman beralkohol.
5. Radiasi
Radiasi dari sinar matahari, sinar X dan gamma juga boleh
menyebabkan sel-sel mengalami mutasi sekiranya anda terdedah kepada
sinaran-sinaran tersebut untuk jangka masa yang lama. Amalkan memakai ‘sunscreen’
pada kulit atau pelembap bibir yang mengandungi pelindung sinar UV [Sun
Protection Factor (SPF)] jika anda selalu terdedah kepada sinar
matahari untuk jangka masa yang lama.
6. Diet
Walaupun kaitan makanan dengan kanser mulut tidaklah sekukuh
merokok dan alkohol, terdapat beberapa kajian yang mendapati pengambilan
sayur-sayuran dan buah-buahan, terutamanya yang mengandugi karotin (contohnya
lobak merah, tomato dan buah oren) boleh mengurangkan risiko untuk mendapat
kanser mulut.
Malangnya, di Malaysia, ramai pesakit yang telah berada pada
tahap teruk apabila dikesan menghidap kanser mulut. Hampir 70% kes yang dikesan
di hospital-hospital di Malaysia telah berada pada Tahap III dan IV yang
menyebabkan kurang dari separuh daripada jumlah pesakit yang dikesan menghidap
kanser mulut akan dapat hidup lebih dari 5 tahun selepas kanser dikesan.
Sumber:
http://stjamesdentalgroupcudahy.wordpress.com
Hal ini boleh dielakkan dengan pemeriksaan sendiri di rumah dan
melakukan pemeriksaan berkala di klinik. Pemeriksaan mulut kita sendiri
tidaklah sukar. Anda cuma perlukan cermin dan pencahayaan yang mencukupi, dan
hanya perlu ikut langkah-langkah mudah seperti berikut:
- Berdiri di hadapan cermin. Keluarkan gigi palsu (jika
ada). Bersihkan tangan anda dengan sabun dan air yang bersih.
- Angkat bibir atas anda dengan menggunakan jari.
Perhatikan sebarang keganjilan di bahagian dalam bibir dan gusi. Ulang
langkah sama untuk bibir bawah.(Gambar A dan D)
- Dengan ibu jari dan jari telunjuk, picit bibir
anda perlahan-lahan. Pastikan tiada benjolan atau ulser.(Gambar B).
- Tarik pipi kanan anda, perhatikan sebarang keganjilan
di bahagian dalam pipi dan gusi belakang. Ulang langkah ini dengan pipi
sebelah kiri. (Gambar C).
- Dongak kepala anda dan lihat lelangit anda. Gunakan
ibu jari dan tekan lelangit perlahan-lahan untuk memeriksa sebarang
keganjilan yang mungkin ada. (Gambar E).
- Tekan lidah anda menggunakan batang kayu aiskrim atau
berus gigi. Perhatikan bahagian belakang lidah dan tekak anda. (Gambar
F).
- Seterusnya, angkat lidah dan periksa bahagian bawah
lidah dan gusi berdekatan dengan lidah. (Gambar G).
- Akhirnya, gerakkan lidah anda ke kiri dan periksa
bahagian kanan lidah. Ulang langkah sama untuk sebelah kanan.(Gambar
H).
Apakah yang patut anda cari ketika pemeriksaan
mulut sendiri?
- Tompok
putih yang tidak hilang setelah disapu dengan kapas.
- Tompok
merah
- Tompok
merah dan putih yang bercampur
- Ulser
atau luka yang berpanjangan
- Sebarang
benjolan di dalam mulut dan leher
- Kesukaran
mengunyah dan menelan makanan.
Namun begitu, kehadiran mana-mana tanda yang disebut di atas
tidak bermakna anda menghidap kanser mulut. Ia boleh juga disebabkan oleh
keadaan lain yang mungkin tidak berkaitan dengan kanser. Doktor anda akan
memeriksa dan menjalankan beberapa ujian lanjutan sebelum menentukan penyakit
yang anda hidapi ketika temujanji.
Kesimpulannya, adalah penting untuk kanser mulut dikesan awal
supaya rawatan boleh dijalankan segera bagi menyelamatkan nyawa pesakit. Adalah
lebih baik lagi jika tabiat yang meningkatkan risiko kanser mulut ini
dihentikan sebagai langkah pencegahan.
Dr. Husna Razak (BDS) (KLE VK) seorang pegawai
pergigian yang sedang bertugas di Kota Bharu, Kelantan. Kenali beliau dengan
lebih lanjut di laman The Team.
Rujukan:
- http://mouthcancermalaysia.um.edu.my/s tatistic.html
- http://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/20192598
- http://www.cancerresearchuk.org/cancer-info/cancerstats/types/oral/riskfactors/oral-cancer-risk-factors
- http://www.aaoms.org/docs/media/oralcancerselfexam.pdf
Tiada ulasan:
Catat Ulasan